Hukum alkohol untuk obat Menggunakan alkohol untuk pembasmian kuman pada luka adalah dibenarkan disebabkan keperluan terhadapnya. Dikatakan juga alcohol itu menghilangkan akal tetapi tidak memabukkan, kalau benar dakwaan ini, maka alkohol bukanlah arak, jika tidak benar dakwaan ini, dan alkohol itu memabukkan maka ia adalah arak, maka meminumnya adalah haram dengan nas dan ijmak.
Adapun penggunaannya tanpa meminum, ia perlu diperbahaskan, jika kita melihat kepada firman Allah (maksudnya): "Wahai orang- orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib, adalah najis dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu semua menjauhinya, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan." (al- Maidah:90 ). Maka (berdasarkan ayat ini) penggunaan yang bukan untuk tujuan minuman juga adalah haram berdasarkan keumuman firmanNya: "Maka hendaklah kamu semua menjauhinya." (al-Maidah: 90)
Namun jika kita melihat kepada ayat yang berikutnya (bermaksud): "Hanyasanya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah (kamu semua dari mengerjakannya)." (al- Maidah:91), Maka berdasarkan ayat ini, penggunaan arak bukan untuk minuman adalah harus, disebabkan ketidakbolehan mengenakan illah ini ke atasnya. Berdasarkan hal ini, kami berpandangan sebagai langkah berhati-hati, tidak boleh menggunakan alkohol untuk wangian. Adapun untuk pensterilan (membasmi kuman) tidak mengapa disebabkan ada keperluan dan ketiadaan dalil yang jelas melarangnya.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata di dalam Majmu' al- Fatawa m.s. 270 , jld. 24 (maksudnya): "Berubat dengan memakan lemak babi adalah tidak boleh, adapun berubat dengan melumurkannya (lemak babi) kemudian membasuhnya selepas itu, maka ia dibina di atas keharusan menyentuh najis ketika tidak solat, tentang ini ada perbahasan yang masyhur, dan pendapat yang benar ialah harus disebabkan keperluan. Dan apa yang harus untuk keperluan, maka harus untuk berubat dengannya."
Syeikh al-Islam telah membezakan di antara memakan dengan menggunakan sesuatu yang najis dengan cara lain (bukan memakan). Maka bagaimana pula dengan alcohol yang bukanlah suatu yang najis? Kerana jika alkohol itu belum menjadi arak maka kesuciannya adalah jelas dan jika ianya arak, maka (pandangan) yang benar, arak itu juga bukanlah najis dilihat dari dua sudut:
Pertama: Tidak ada dalil yang menunjukkan kenajisan arak. Jika tidak ada dalil, maka hukum asalnya ialah suci. Tidaklah semestinya pengharaman sesuatu itu menjadikan zat benda tersebut sebagai najis. (contohnya) Racun adalah suatu yang haram (dimakan/diminum), akan tetapi ia tidak pula dikira najis. Adapun firman Allah taala (maksudnya): "Wahai orang- orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib itu adalah najis dari amalan syaitan.." Maka yang dimaksudkan dengan najis di sini adalah najis maknawi bukan hissi, ia merupakan sifat, kerana tidak mungkin berjudi, berhala dan bertenung nasib juga menjadi najis dari sudut hissi, maka ia dikira najis kerana termasuk dalam perbuatan syaitan, dan syaitan bertujuan menimbulkan permusuhan dan kebencian, perkara ini adalah pekerjaan najis dari sudut maknawi.
Kedua: al-Sunnah juga menunjukkan kesucian zat arak (hissinya). Di dalam Sahih Muslim daripada Ibn 'Abbas RA (menceritakan) seorang lelaki menghadiahkan kepada Rasulullah SAW satu uncang arak. Lalu Rasulullah (SAW) bertanya kepadanya: "Apakah kamu tahu bahawa Allah (SWT) telah mengharamkannya?" jawab lelaki itu: "Tidak." Lalu lelaki itu berbisik kepada seseorang yang berdekatan dengannya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: "Apa yang kamu bisikkan kepadanya." Lelaki itu menjawab: "Saya menyuruh dia menjual arak itu." Lalu Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya (Allah) yang mengharamkan meminumnya, mengharamkan juga menjualnya." Kata (Ibn 'Abbas) "Lalu lelaki itu membuka uncang tersebut dan menuangkan arak yang ada di dalamnya."
Di dalam Sahih al-Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, dimana beliau berada di rumah Abu Talhah yang menghidang orang-orang yang ada di situ dengan minuman (khamar), lalu Nabi SAW menyuruh seseorang melaungkan bahawasanya arak telah diharamkan. Kata Anas bin Malik, Abu Talhah berkata kepadaku, pergilah kamu keluar dan buangkan ia, lalu aku keluar dan menuangnya, sehingga ia mengalir di jalan-jalan Madinah."
Kalaulah arak itu najis, dalam bentuk najis hissi, sudah pasti Nabi SAW akan menyuruh orang yang menghadiahkan baginda uncang arak itu membasuh uncangnya, sepertimana ketika diharamkan daging keldai sewaktu peperangan Khaibar, di mana Nabi SAW bersabda: "Buangkan (daging keldai yang ada di dalam bekas) dan pecahkan bekas itu." Lalu seseorang berkata: "Atau kami buangkan (isinya) dan kami basuh bekasnya." Jawab baginda: "Atau membasuhnya."
Kemudian kalaulah arak itu najis hissi, orang-orang Islam tidak akan membuangnya di jalan-jalan di Madinah, kerana tidak boleh membuangkan najis dijalan-jalan yang dilalui manusia.
Al-Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata di dalam Majmu'ah Fatawa al-Manar, m.s. 1631, secara ringkasnya. "Alcohol adalah bahan yang suci, penting di dalam perubatan dan dalam banyak industry, penggunaannya dalam perubatan tidak terkira banyaknya, mengharamkan penggunaannya ke atas orang Islam akan menghalang perkembangan ilmu dan banyak perkara yang merupakan sebab utama Eropah mendahului umat islam, seperti kimia, farmasi, perubatan dan pembuatan, dan jika diharamkan penggunaannya, ia akan menjadi sebab kematian ramai dikalangan pesakit dan orang-orang yang tercedera atau akan memanjangkan tempoh kesakitan mereka dan menambahkan kesakitan." Ini adalah satu ungkapan yang baik dan kukuh dari Muhammad Rasyid Redha RH.
Adapun tentang sebahagian ubat yang bercampur dengan alcohol, sesungguhnya ia tidak menjadikan ubat itu haram, jika percampuran itu sedikit yang tidak menzahirkan kesannya, seperti yang dinyatakan oleh para ulama. Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy berkata: "Tepung jika diuli bersama arak, dibakar menjadikannya roti dan di makan (orang itu) tidak dikenakan hukuman Had (kerana tidak dikira meminum/memakan arak), kerana api telah menghilangkan bahagian- bahagian arak, ia tidak ada lagi melainkan kesannya sahaja." (al- Mughniy, m.s. 306 , jld: 8).
Di dalam al-Iqna' dan Syarahnya dinyatakan: "Walaupun dicampurkan - benda yang memabukkan itu (arak) - dengan air, kemudian air itu menghilangkannya/memusnah kannya, kemudian air itu diminum, orang yang meminumnya tidak di hukum had, kerana ia telah musnah di dalam air, dan dia tidak mengambil alih nama air itu, atau ia digunakan untuk berubat luka, orang ini juga tidak dikenakan hukuman had, kerana dia tidak mengambil benda yang memabukkan itu sebagai minuman dan tidak juga yang semakna dengan minuman." (al- Iqna', m.s. 71 , jld: 4) Inilah kesimpulan (kandungan) daripada athar dan penelitian.Adapun athar sebagai hujjah dalam masalah ini, telah diriwayatkan dari Nabi SAW yang bersabda: "Air itu suci, tidak menajiskannya sesuatu, melainkan jika berubah bau, rasa dan warnanya dengan najis yang ada di dalamnya." Sekalipun ungkapan berubah bau, rasa dan warna itu ada kelemahan padanya, namun para ulama telah bersepakat tentangnya. Bentuk petunjuknya, ialah jika terjatuh sesuatu najis di dalam air, dan air itu tidak berubah, maka air itu kekal kesuciannya, demikian juga arak, apabila bercampur dengan benda lain yang halal, dan jika arak itu tidak memberi kesan kepada benda yang halal tersebut, maka benda itu kekal kehalalannya.Di dalam Sahih al- Bukhari yang diriwayatkan secara ta'lik dinyatakan: Abu Darda' membuat al-Murriy (sejenis makanan Arab) bersama ikan yang digaramkan, diletak (diperam) di dalam khamar kemudian dijemur di bawah matahari, sehingga bertukar rasa arak tersebut. Athar ini bermaksud; Ikan yang ada garam tersebut dijemur di bawah matahari, menghilangkan arak tersebut dan ianya menjadi halal.
Fakta ini perlu diperhatikan, kerana arak hanya diharamkan disebabkan sifat yang ada padanya iaitulah memabukkan. Apabila sifat ini (memabukkan) telah tiada, tiadalah pengharamannya. Ini kerana hukum (sesuatu perkara) berlegar bersama illahnya (sebab hukum), kewujudan atau ketiadaannya hukum. Sebahagian orang menyangka benda yang bercampur dengan arak menjadi haram secara mutlak, walaupun arak yang bercampur itu sedikit, dimana tidak timbul lagi kesannya, dan mereka menyangka inilah maksud hadith: "Apa yang memabukkan dalam jumlah banyak, maka sedikitnyapun haram." Mereka berpendapat, inilah hukum arak yang sedikit, banyaknya memabukkan, maka sedikitnyapun haram. Yang lain pula berkata: "Arak yang sedikit telah hilang di dalam sesuatu yang lain, dan tidak ada lagi sifat (arak) dan hukumnya (juga tiada), maka hukumnya berdasarkan apa yang banyak sifatnya. Adapun hadith: "Apa yang memabukkan banyaknya, maka sedikitnyapun adalah haram." Maknanya ialah jika minuman itu banyak, ia memabukkan sipeminum, dan jika sedikitnya tidak memabukkan, maka yang sedikit ini juga tetap haram (kerana ianya arak dan kekal sifatnya sebagai arak), kerana pengambilan yang sedikit ini, sekalipun tidak memabukkan, menjadi haram sebagai menyekat dari mengambil yang banyak. Ini dijelaskan lagi di dalam hadith 'Aisyah RA, Sabda Nabi SAW: "Setiap yang memabukkan itu haram dan apa yang memabukkan sebanyak 16 ritl, maka satu telapak tangan juga adalah haram."
Makna hadith ini, jika terdapat minuman yang tidak memabukkan melainkan jika diambil sebanyak 16 ritl, maka satu tapak tangan juga adalah haram (walaupun tidak memabukkan). Inilah maksud sabdaan Nabi SAW: "Apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga adalah haram."
Sumber: Fatwa wa Rasail al- Syeikh Muhammad Soleh al- 'Uthaimin, jilid 11, bab Izalah al- Najasah.